Ahad, 6 Mac 2011

Pelajar patah tangan dibelasah rakan sekolah


KANGAR - Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Simpang Empat, dekat sini, patah tangan kiri akibat dibelasah rakan sekolahnya pada Jumaat lalu.


Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, Muhamad Shahfaly Anoar, 15, patah lengan kiri, tulang bahu kiri terkehel dan luka di pipi kiri akibat dibelasah tiga pelajar dan dua daripada mereka adalah rakan sekelasnya.


Menceritakan kejadian itu, pelajar itu berkata dia sedang mengikuti kelas Kemahiran Hidup apabila ditarik keluar oleh seorang pelajar dan membawanya kepada 10 pelajar lain yang menunggu di bahagian bawah bangunan sekolah.


Bagaimanapun, katanya hanya tiga daripada mereka yang bertindak memukulnya.

"Saya hanya mampu menahan kesakitan dan setelah dipukul ada rakan membantu membawa saya masuk ke kelas," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang Empat Syed Kassim hari ini.


Katanya namun dia tidak memberitahu guru kelas mengenai kejadian itu apabila masuk semula ke dalam kelas.


Muhamad Shahfaly berkata dia percaya motif dirinya dipukul disebabkan dendam kerana selaku ketua tingkatan dia sering melaporkan kepada guru mengenai masalah disiplin pelajar kelasnya.


Bapa pelajar itu, Anoar Ahmad, 38, berkata beliau terkejut melihat keadaan anaknya yang sedang menahan kesakitan semasa menjemputnya kira-kira pukul 12 tengah hari.


Katanya beliau kemudian terus memaklumkan kepada pihak sekolah dan membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat pukul 7.30 malam.


"Saya membawa anak saya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk menerima rawatan dan hasil pemeriksaan mendapati lengan kiri anak saya patah," katanya.


Muhamad Shahfaly menerima rawatan di HTF selama satu hari dan dibenarkan keluar pada Sabtu dan diberi cuti sakit selama 11 hari.


Katanya itu merupakan kali kedua anaknya dibelasah oleh pelajar sekolah itu, dan kali pertama pada tahun lepas tetapi anaknya tidak mengalami kecederaan serius.


"Saya berasa terkilan dan tidak berpuas hati dengan pentadbiran sekolah dan guru harus bertanggungjawab ke atas kejadian," katanya yang mahu menukarkan anaknya ke sekolah lain.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin ketika dihubungi berkata polis sudah menahan reman empat pelajar bagi membantu siasatan kes itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...