Ahad, 6 Mac 2011

Ramai bayar saat akhir

KOTA TINGGI – Lebih RM1,022,870 nilai kompaun saman berjaya dikutip Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sejak awal tahun lalu. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Muhammad Shamsuddin berkata, pecahan mengikut bulan, Januari mencatatkan RM310,980 nilai kompaun saman diikuti RM711,890 untuk Februari. 

“Saya mengesahkan PDRM ada menerima kira-kira RM1,022,870 bayaran kompaun saman daripada orang ramai sejak awal tahun lalu. 

“Sejumlah RM115,370 dikutip dalam tempoh sehari apabila kaunter di Balai Trafik dibuka bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam pada 28 Februari, lalu,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin. 

Tinjauan turut mendapati tiga anggota trafik termasuk dua wanita bertugas selama 16 jam di kaunter melayani semakan kesalahan trafik dan menerima pembayaran kompaun pada hari terakhir bayaran berkenaan. 

Terdahulu, kerajaan mengumumkan orang ramai yang memiliki saman yang dikeluarkan sebelum 1 Disember lalu, berpeluang menikmati insentif 50 peratus diskaun. 

Sekiranya saman dimiliki gagal dijelaskan sehingga Isnin lalu (28 Februari), nama mereka akan disenaraihitamkan dan akan menghadapi masalah memperbaharui cukai jalan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...