Ahad, 6 Mac 2011

Kes ponteng sekolah turun mendadak

ALOR LINTANG - Selepas Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bersama polis daerah ini melancarkan Ops Hadir ke Sekolah tahun lalu, beberapa perubahan ketara dapat dilihat terutama kes pelajar ponteng sekolah yang menurun secara mendadak. 

Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Baharuddin Ibrahim berkata, sepanjang tahun lalu, PPD dan polis melakukan beberapa operasi di kawasan tertentu bagi mengesan pelajar ponteng. 

Menurutnya, operasi itu berkesan untuk menangani kes ponteng yang menjadi masalah utama kepada sekolah kerana perbuatan itu menimbulkan pelbagai kesan sampingan. 
“Pelajar bukan sahaja ponteng, tetapi paling dikhuatiri mereka terbabit masalah lain seperti penagihan dadah dan pergaulan bebas,” katanya yang menyeru masyarakat turut memberi kerjasama menangani masalah ini. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, di sini. 

Hadir sama, pengetua sekolah berkenaan, Romeli Abd Rahman. 

Sementara itu, Baharuddin turut mengingatkan pihak pengurusan sekolah agar tidak memberi tumpuan kepada pelajar cemerlang sahaja, sebaliknya memberi pendidikan sama rata kepada semua pelajar. 

Katanya, kecemerlangan sekolah tidak bergantung kepada berapa ramai pelajar mereka yang lulus cemerlang, sebaliknya mengambil kira pencapaian keseluruhan pelajar. 

“Penilaian pencapaian sekolah dibuat berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) iaitu walaupun ramai pelajarnya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam, tetapi pada masa sama masih ramai pelajar tercicir, maka ini akan membuatkan GPS sekolah menurun dan penilaian akan dibuat terhadap sekolah berdasarkan gred berkenaan,” katanya. 

Baharuddin berkata, pihaknya bukan sahaja mahu melahirkan ramai pelajar cemerlang tetapi pada masa sama mahu pelajar memiliki akhlak dan sahsiah yang baik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...