KUANTAN – Seorang remaja cuba mencederakan diri dengan mengelar pergelangannya menggunakan kaca kerana kecewa akibat diperkosa bergilir-gilir tiga rakan lelaki yang dikenali.
Remaja yang tidak bersekolah itu dikatakan pulang ke rumah selepas kejadian ngeri itu tetapi bertindak mencederakan diri selepas tersedar dari tidur.
Tindakan remaja itu disedari bapa saudaranya yang kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, kelmarin.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Superintendan Mohd Haris Daud berkata, remaja berusia 15 tahun itu dirogol di sebuah pondok usang dalam ladang kelapa sawit, Kota Bahagia, Rompin.
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang selepas mangsa bersama tiga rakan lelakinya meminum minuman keras Thai Song.
“Selepas meminum minuman keras itu, tiga lelaki berkenaan mabuk dan merogol remaja itu secara bergilir-gilir,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.
Katanya, bertindak atas laporan bapa saudara remaja berkenaan, sepasukan Unit Forensik melakukan siasatan dan mendapati ada tompokan air mani dan beberapa puntung rokok di tempat kejadian.
“Polis menahan tiga suspek berusia 17 tahun ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, dalam satu kejadian lain, Mohd Haris memberitahu, polis menahan dua lelaki berusia 18 tahun kerana disyaki merogol gadis berusia 16 tahun di Pantai Air Leleh, Pekan.
Hasil siasatan, gadis itu sebelum ini mendakwa melakukan hubungan seks bersama beberapa lelaki mengandung 13 minggu.
“Semua lelaki terbabit kini ditahan reman dan akan menerima hukuman di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan,” katanya.