Sabtu, 19 Mac 2011

Kelewatan Penyelesaian Kes Tidak Boleh Dibiarkan, Kata Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi hari ini mempertahankan pendiriannya bahawa badan kehakiman tidak akan bertolak ansur dengan ketidakcekapan dalam pentadbiran keadilan dan kelewatan penyelesaian kes-kes mahkamah.

Itulah respons beliau terhadap kritikan dan dakwaan kononnya langkah badan kehakiman dalam menyegerakan penyelesaian kes-kes telah meminggirkan kesaksamaan dan keadilan.

"Dalam tempoh kira-kira dua tahun lepas, dalam memperkenalkan langkah untuk menyelesaikan kes-kes tertangguh yang banyak di mahkamah-mahkamah Malaysia, dan sehingga ke hari ini, saya telah dihujani dengan aduan bahawa penyelesaian kes dengan segera adalah sama seperti menguburkan keadilan," katanya.
Menurutnya Singapura turut berdepan dengan masalah serupa pada 1990-an dan Ketua Hakim Negaranya ketika itu Yong Pung How menyifatkan kes tertangguh itu sebagai "banyak dan memalukan". Lima tahun kemudian, badan kehakiman negara itu dengan bangganya mendapati semua kes tertangguh telah diselesaikan.

Zaki berkata demikian ketika berucap pada persidangan bersama badan kehakiman Malaysia dan Singapura yang julung kali diadakan yang berlangsung di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman di sini.

Katanya badan kehakiman Malaysia telah berjaya mencapai sasarannya melupuskan saman-saman sivil dalam masa sembilan bulan.

Mengenai persidangan itu yang dirasmikan bersama oleh Zaki dan Ketua Hakim Negara Singapura Chan Sek Keong, beliau berkata ia menandakan bermulanya komunikasi dan hubungan lebih rapat antara kedua-dua institusi.

"Saya percaya dalam abad ke-21 ini, yang bermulanya era globalisasi, bahawa badan kehakiman kedua-dua negara patut berusaha menjalin hubungan setiakawan lebih rapat berasaskan saling menghormati dan mempercayai yang akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala," kata Zaki.

Beliau kesal kerana interaksi antara kedua-dua badan kehakiman tidak diusahakan lebih awal disebalik Malaysia dan Singapura adalah berjiran dan berkongsi sejarah dan latar belakang kebudayaan yang sama.

Zaki berkata persidangan itu ialah satu daripada mesyuarat di mana para hakim bebas memperkatakan mengenai cabaran, tekanan dan kekangan yang dihadapi mereka dalam melindungi peraturan dan undang-undang dan memastikan kebebasan badan kehakiman.

Ketua Hakim Negara Singapura Chan, dalam ucapan perasmian beliau memuji transformasi yang dilakukan badan kehakiman Malaysia yang menurutnya dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dan besar-besaran.

Beliau berharap persidangan itu akan memberikan peluang kepada para hakim kedua-dua badan kehakiman untuk membincangkan kaedah untuk menambahbaik proses mahkamah dan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada orang awam.

Sebanyak 12 hakim dari Badan Kehakiman Singapura dan 77 hakim dan pesuruhjaya kehakiman dari Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Badan Kehakiman Malaysia menghadiri persidangan sehari itu.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...