Sabtu, 19 Mac 2011

Simpanan dalam bank lesap

DESA MURNI - Seorang ibu dan anak lelakinya mengalami kerugian kira-kira 6,101.41 apabila duit simpanan mereka di dalam tiga bank lesap tanpa diketahui punca pengeluaran wang simpanan itu. 

Mangsa, Natrah Aziz, 43, berkata, pada 6 Mac lalu dia mengeluarkan wang simpanannya sebanyak RM200 di salah sebuah institusi bank di bandar Temerloh dan melihat baki masih ada sebanyak RM1,451.41 dan selepas itu dia tidak membuat sebarang transaksi pengeluaran. 

Menurutnya, sehinggalah pada 14 Mac lalu dia mahu mengeluarkan wang simpanannya itu dan terkejut melihat baki di dalam akaun hanya tinggal sebanyak RM150.00. 
“Saya terus bertanya kepada pihak bank berhubung baki wang simpanan saya sedangkan selepas 6 Mac lalu saya tidak mengeluarkan wang. Saya begitu terkejut dan meminta pihak bank menunjukkan penyata transaksi akaun, saya turut menunjukkan resit lama yang masih disimpan sebagai bukti. 

“Daripada penyata dan siasatan yang dilakukan pihak bank itu menunjukkan terdapat pihak bank lain yang mengambil wang saya itu tanpa sebarang tujuan, sedangkan saya tidak berhutang dengan mana-mana bank mahupun hutang kad kredit. 

“Saya begitu kesal dengan perkara ini menyebabkan kepercayaan saya pada pihak bank semakin pudar,” katanya. 

Nasib sama menimpa anak lelakinya, Fakhrul Razi Ahmad Khairi, 21, di mana dia baru sehari membuka akaun di salah sebuah bank di bandar ini dan keesokannya wang simpanannya sebanyak RM1800 untuk tujuan membeli kereta juga lesap. 

“Saya begitu kecewa dan sedih apabila pihak bank menuduh saya sengaja menayangkan nombor pin kepada orang awam ketika saya membuat aduan kepada mereka berkaitan permasalahan ini,” katanya.

Menurut Fakhrul Razi, dia meminta supaya pihak bank memberi perhatian serius berhubung kehilangan wang simpanan itu. 

Ekoran kejadian itu mereka membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...