Selasa, 22 Mac 2011

Kumpulan samun Muru tumpas

JOHOR BAHRU – Seramai empat lelaki berusia antara 20 hingga 29 tahun yang juga merupakan Kumpulan Samun Muru berjaya ditangkap pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya. 

Kesemua ahli kumpulan yang sudah bergiat aktif sejak enam bulan lalu itu ditahan dalam dua tangkapan berasingan iaitu di Taman Kota Masai, Masai dan Taman Sri Paloh, Kluang. 

Difahamkan, kumpulan samun Muru mensasarkan mangsa di kalangan masyarakat India yang tidak mengunci kediaman masing-masing. 
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya sebanyak 20 kes samun ke atas keluarga India di sekitar daerah Kulaijaya dan Kluang berjaya diselesaikan hasil tangkapan itu. 

“Polis ada menerima laporan pada 7 Mac lalu dari sebuah keluarga memberitahu kediaman mereka dimasuki tiga lelaki bersenjatakan parang dan kemudiannya diikat kaki tangan manakala anak mangsa di kurung dalam bilik air. 

“Rumah mangsa kemudiannya digeledah oleh penjenayah ini yang kemudiannya membawa lari barang kemas, lima telefon bimbit, komputer riba, pemain video digital (DVD) dan RM800 melibatkan kerugian anggaran RM10,000. 

“Di atas komitmen pasukan khas yang ditubuhkan untuk mengesan dan menangkap suspek, empat lelaki berjaya ditangkap kurang daripada tempoh 24 jam malah merampas kesemua hasil samun serta senjata digunakan susulan daripada maklumat yang disalurkan ke Hotline IPD Kulaijaya,” kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Khamis lalu. 

Antara barang yang ditemui adalah 12 telefon bimbit pelbagai jenama, dua dompet, pelbagai barangan perhiasan diperbuat daripada emas dan perak, dua komputer riba, tabung syiling, DVD, kamera digital, tiga jam tangan, tiga parang, kuku kambing, dua tukul besi dan nombor pendaftaran kenderaan. 

Jalaluddin berkata, semakan rekod polis turut mendapati kesemua suspek terbabit merupakan penjenayah tegar berikutan tiga daripada empat tangkapan mempunyai sejumlah 10 rekod kesalahan lalu melibatkan kes bunuh dan curi selain rekod di bawah undang-undang pencegahan. 

“Kesemua ditahan reman selama 12 hari sehingga 21 Mac depan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun berserta sebatan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...