Selasa, 22 Mac 2011

Pelatih Dan Petugas Pulapol Yang Ditempatkan Di HKL Kekal 19 Orang

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Jumlah pelatih dan petugas Pusat Latihan Polis (Pulapol) yang ditempatkan di wad biasa di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan virus 'Adenovirus' sehingga pukul 12 tengahari tadi kini masih kekal 19 orang.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laman Facebook memaklumkan bahawa mereka terdiri daripada 10 Inspektor wanita, enam Inspektor lelaki, dua Konstabel, dan seorang petugas Pulapol.

Menurut laman itu lagi seorang pelatih Konstabel dan 2 pelatih Inspektor wanita pula sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi.

"Jumlah pelatih yang menjalani pengasingan pula adalah 258 orang di Pulapol," kata laman itu.

Untuk maklumat lanjut, anggota keluarga pelatih boleh menelefon 03-2688 2009 atau 03-2688 2062 di Bilik Gerakan Khas Pulapol.

Jangkitan virus 'Adenovirus' mula dikesan menyerang Pulapol pada 4 Mac lepas dan sehingga kini jangkitan virus itu sudah meragut nyawa dua pelatih pusat latihan itu.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...