BIDOR – Beberapa kejadian jenayah di Kampung Cegar di sini dapat diatasi dengan rondaan malam yang dilakukan oleh Rukun Tetangga (RT) kampung berkenaan.
Pengerusinya, Lokman Mohd Ali berkata, bermula 1 mac yang lalu pihaknya berjaya mengumpulkan beberapa penduduk untuk menjayakan rondaan malam.
Menurutnya, rondaan ini diadakan setiap hari bermula pada jam 12.30 malam dan berakhir sehingga jam 4.30 pagi.
“Rondaan malam ini perlu dilakukan kerana kejadian jenayah di kawasan ini terutamanya di kawasan perindustrian berhampiran kerap berlaku.
“Kita mencuba untuk mencegah kejadian jenayah melalui rondaan yang dilakukan ini dan turut disertai lebih 20 penduduk dalam setiap rondaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Lokman berkata, kerjasama turut diberikan oleh pihak polis dalam memberi bantuan untuk penduduk menjalankan rondaan.
Katanya, baru-baru ini pihaknya hampir berjaya menahan seorang penjenayah yang cuba memecah masuk ke sebuah rumah penduduk di sini.
“Namun usaha kami mengejar penjenayah terbabit tidak berjaya dan dapat melarikan diri namun kita akan menggiatkan lagi usaha menangani jenayah.
“Di samping jaga keselamatan penduduk, kita juga mahu mengurangkan kadar jenayah yang berlaku di sini,” katanya.