Ahad, 13 Mei 2012

Dua lelaki maut ditembak


SEREMBAN 11 Mei - Dua lelaki maut manakala dua rakan mereka cedera selepas ditembak oleh pembunuh bermotosikal ketika menaiki sebuah trak pikap di Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.50 malam itu kesemua mangsa yang menaiki kenderaan jenis Ford Ranger dihampiri dua pembunuh bermotosikal sebelum seorang daripadanya melepaskan tembakan dari jarak dekat ke arah kenderaan itu sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, berikutan kejadian itu pemandu berkenaan yang cedera parah masih sempat memandu kenderaan dinaiki mereka ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, mangsa yang maut ialah P. Chalidass, 29, berasal dari bandar ini manakala seorang lagi rakannya, G. Surentharen, 31, meninggal dunia ketika dirawat di hospital berkenaan.

"Kenderaan dinaiki mereka ketika itu sedang menghampiri lampu isyarat sebelum dua suspek tiba-tiba muncul dan melepaskan tembakan.

"Dua lagi mangsa yang cedera parah masing-masing ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad biasa hospital yang sama," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Saiful Azly berkata, berdasarkan siasatan awal kesemua mangsa termasuk yang mati, ditembak di badan dan kepala.

Polis turut menemui empat kelongsong peluru di tempat kejadian termasuk satu daripadanya dalam kenderaan dinaiki mangsa.

"Polis ketika ini sedang menyiasat berapa das tembakan yang dilepaskan serta jenis senjata, kenderaan yang dinaiki suspek serta motif pembunuhan itu.

"Siasatan awal polis mendapati seorang daripada mangsa yang mati baru beberapa bulan dibebaskan dari Pusat Pemulihan Akhlak di Machang, Kelantan atas kesalahan jenayah pada 2009 dan 2010," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes ini yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...