Ahad, 13 Mei 2012

‘Polis, tentera juga manusia biasa’ - PM


Image Detail
KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam, mempertahankan anggota keselamatan, termasuk polis dan tentera dan meminta rakyat tidak terus menyalahkan golongan ini yang juga manusia biasa. 

Beliau berkata, rakyat perlu sentiasa menghormati dan menyanjung tinggi kedaulatan undang-undang dalam apa jua keadaan dan elakkan diri daripada melakukan kerosakan serta mencederakan anggota keselamatan itu.
“Jika kita cederakan mereka, apa perasaan anak, isteri serta anggota keluarga mereka? Seolah-olah orang yang menyerang pihak keselamatan ini seperti lupa yang mereka ini juga rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Tengah hari dan Penyampaian Sumbangan oleh Yayasan Rahah sempena Kejohanan Golf Amal Parlimen Pekan di Markas 4 Briged Mekanize, Kem Batu 10 di sini, semalam. 

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Panglima Kem 4 Briged Mekanize, Brig Jen Datuk Abdul Rahim Abdul Mutalib. 

Pada majlis sama, beliau meluluskan peruntukan RM3 juta bagi pembinaan sebuah pusat komuniti di kem berkenaan bagi dimanfaatkan kira-kira 5,000 anggota keluarga di Briged Mekanize dan Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kuantan. 

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menyampaikan sumbangan Yayasan Rahah kepada 300 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Seri Mahkota dan Sekolah Kebangsaan Seri Wira, di sini. 
Sementara itu, ketika berucap merasmikan Karnival Yo! Pekan dan Pertandingan Kemahiran Malaysia (Sektor Teknologi Automobil), di Pekan, Perdana Menteri berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi jaminan akan menyediakan keperluan untuk belia yang lebih baik pada masa depan. 

Menerusi program transformasi yang dilaksanakan kerajaan, kerajaan dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan baru untuk golongan itu. 

Generasi muda ada daya kreativiti dan mereka harus gunakan kemampuan secara kreatif untuk mencari peluang dan jadikan ia sebagai kerjaya, dengan cara ini belia akan terus maju ke depan. 

“Berbeza belia di Eropah contohnya di Sepanyol yang mana berlaku kira-kira 50 peratus pengangguran membabitkan golongan muda manakala di negara timur tengah yang terbabit dengan ‘Arab Springs’, nasib generasi muda langsung tidak dipedulikan kerajaan. 

“Tetapi di Malaysia kerajaan sangat mengambil berat nasib belia, sebab itu belia kita sangat memahami perkara ini cuma ada segelintir saja yang bertindak liar,” katanya. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...