Ahad, 13 Mei 2012

Polis giat jejaki enam lelaki mencuri bijih emas


LIPIS 11 Mei - Polis sedang mencari enam lelaki berusia antara 25 hingga 51 tahun bagi membantu siasatan kes kecurian bijih emas yang berlaku di Selinsing Gold Mine Manager (SGMM) Sdn. Bhd., di Sungai Koyan di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, kesemua lelaki terbabit merupakan bekas pekerja syarikat perlombongan emas berkenaan.

Mereka ialah Mohd. Shamsulrizal Abdul Majid, 25; Mohammad Riduan Jamaludin, 33; Mohamed Esan Latiff, 37; Arman Shah Mohammad Yusof, 44; Abdul Mutalib Ahmad, 49, dan Zahari Ahmad, 51.

"Kesemua mereka pernah berkhidmat dengan syarikat tersebut lebih dari setahun dan ada di antaranya merupakan anak tempatan yang tinggal berdekatan lombong itu.

"Polis cuba menjejaki mereka di sekitar negeri ini sejak dua bulan lalu tetapi gagal dan usaha menjejaki mereka masih diteruskan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

Menurut Abdul Razak, polis turut melakukan siasatan terhadap dua lagi pekerja syarikat perlombongan itu yang merupakan rakan kepada enam lelaki berkenaan.

"Hasil maklumat daripada dua pekerja terbabit, kesemua enam lelaki itu dipercayai masih berada di negara ini dan mampu membantu menyelesaikan kes kecurian itu dalam tempoh terdekat," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Md. Sani Md. Salleh di talian 012-5949774 atau IPD Lipis di 09-3122222.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...