Jumaat, 25 Mei 2012

Kanak-kanak dua tahun alami kesan gigitan, luka dipercayai didera ibu bapa


Picture
IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mengalami kesan gigitan dan luka di seluruh badannya dipercayai akibat didera ibu bapa kandungnya di rumah mereka di Chui Chak, Langkap dekat sini.

Kanak-kanak malang itu dibawa ke klinik apabila bapa mangsa mendapati anaknya mengalami keguguran rambut, dan apabila diperiksa kanak-kanak berkenaan mempunyai kesan lebam, luka dan gigitan di seluruh badannya. 


Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie yang melawat mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini berkata kanak-kanak itu kemudiannya dimasukkan ke hospital berkenaan pada 19 Mei lepas untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut. 

"Pada tubuh kanak-kanak itu ada luka lama dan baru...ibu saudaranya selama ini tidak perasan kesan luka berkenaan kerana kanak-kanak itu selalu dipakaikan baju berlengan panjang, seluar panjang. Ini dipercayai dilakukan supaya orang lain tidak sedar kesan luka itu," katanya kepada pemberita di HRPB hari ini.




Beliau berkata sebelum itu, ibu terbabit yang merupakan warga Vietnam cuba menahan suaminya daripada membawa kanak-kanak itu ke klinik bagaimanapun si suami tetap bertegas.



Ibu dan bapa kandung mangsa yang berkahwin melalui ejen mencari jodoh, tinggal bersama kanak-kanak malang itu serta anak sulung berusia tiga tahun, katanya. 

Heng berkata anak sulung lelaki mereka turut dibawa ke HRPB pada 20 Mei untuk diperiksa dan pihak hospital mendapati tiada kesan deraan pada fizikalnya. 

"Pihak HRPB telah memberi rawatan, pemeriksaan kesihatan dan perlindungan kepada kedua-dua kanak-kanak itu...kanak-kanak itu kini sedang sembuh dan keadaannya adalah baik...siasatan mengenai kes itu juga sedang dijalankan oleh pihak polis," katanya.- Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...