Sabtu, 26 Mei 2012

Kes rasuah Shokri cemar maruah PDRM dan Negara


Azzuddin tak nafikan kemasukan semula Singapura antara punca rasuah kembali berleluasa.

KES rasuah membabitkan pengadil tempatan, Shokri Nor melakar titik hitam buat bola sepak Malaysia yang baru kembali mengorak langkah di landasan betul.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad turut tidak menafikan kemasukan semula Singapura menerusi Lions XII, menjadi antara punca rasuah kembali berleluasa.
“Singapura antara pusat yang kegiatan bookie sangat cergas, jadi saya tidak nafikan ia akan meningkatkan lagi gejala rasuah ini,” kata Azzuddin yang ditemui ketika Kongres FIFA ke-62 di Budapest, Hungary, kelmarin.

“Bagaimanapun, saya tidak berkongsi pendapat yang mengatakan kemasukan pasukan dari Singapura menjadi penyebab kepada berlakunya gejala rasuah kerana sebelum itu lagi, ia sudah ada, cuma secara samar-samar dan tidak dapat dibuktikan.

“Bagi saya, ia bukan masalah pembabitan Singapura atau tidak, kerana perkara ini terletak kepada individu berkenaan.”

Azzuddin mengesahkan dua nama, anggota polis, Shokri, 47, bersama seorang bekas pemain tempatan, Thana Segar Sinnaiah, 38, didakwa atas tuduhan mengatur perlawanan Liga Super dengan jumlah suapan S$15,000 (RM37,000) seorang.
“FAM boleh mengambil tindakan berkaitan bola sepak, tetapi yang lain terpulang kepada jabatan (PDRM). Jawatankuasa Tatatertib FAM akan memutuskan hukuman sewajarnya ke atas pengadil berkenaan.”

Mahkamah Singapura membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin S$50,000 (RM123,272) sebelum kes disebut semula 31 Mei ini. Sabit kesalahan, kedua-dua boleh didenda sehingga S$100,000 (RM246,537) atau lima tahun penjara atau kedua-duanya, mengikut undang-undang negara berkenaan.

Menurut Azzuddin, Shokri ditahan anggota Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura sebelum bermula perlawanan itu yang menyaksikan tuan rumah, Lions XII menang 3-0 ke atas Sarawak.

Tempat Shokri dalam perlawanan itu diambil alih pengadil Wan Mohd Tarmizi Wan Ibrahim. “Kes ini tidak akan mengubah keputusan perlawanan berkenaan kerana ia tidak membabitkan Shokri,” kata Azzuddin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...