KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan dipenjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barangan termasuk enam bungkus coklat dari sebuah pasar raya, empat hari lepas.
Majistret Parvin Hameedah Natchair memerintahkan Binnie Armi, 25, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 25 Mei.
Bapa kepada dua orang anak itu didakwa mencuri enam bungkus coklat, cermin mata, sehelai jaket dan sepasang kasut yang kesemuanya bernilai RM143.40 di pasar raya di Jalan Silang di sini pada 11.30 pagi, pada 25 Mei lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. – BERNAMA