Isnin, 14 Mei 2012

Peniaga ikan cedera ditembak


Gambar hiasan

BUTTERWORTH 13 Mei - Seorang peniaga ikan hiasan nyaris maut selepas terkena satu das tembakan yang dilepaskan seorang penjenayah ketika mangsa berehat di pekarangan sebuah tokong di Taman Teratai dekat Mak Mandin di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian pukul 12.15 tengah malam itu, suspek yang memakai topi keledar tiba-tiba muncul dari arah belakang dan terus melepaskan tiga das tembakan ke arah Eng Ee Sook, 47, namun hanya satu mengenai bahu kiri mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal ke arah Butterworth manakala mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya oleh rakannya sejurus selepas itu.

Beliau berkata, siasatan polis setakat ini percaya kejadian itu bermotifkan dendam.

"Mangsa kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan kecil bagi mengeluarkan peluru dan kini masih dalam pemerhatian pihak hospital dan polis.
"Polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu. Mangsa pula dikesan mempunyai empat rekod jenayah sebelum ini," katanya.

"Pihak polis juga telah mendapat gambaran awal suspek yang terlibat dan gerakan memburunya telah dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan," ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...