Isnin, 18 Jun 2012

Pengurus HSBC mati dibunuh


Image Detail
KUCHING 14 Jun - Pengurus Bank HSBC cawangan Sibu, Stephen Wong, 31, maut selepas bergelut dengan seorang penjenayah yang menceroboh masuk rumahnya di Lorong Ulu Sungai Merah 33A di Sibu dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian yang berlaku pukul 1.30 pagi itu, mangsa dipercayai bergelut dengan penjenayah dalam bilik tidurnya sehingga mengalami kecederaan parah di belakang badan dan kepala akibat terkena senjata tajam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa sedang tidur dalam sebuah bilik di tingkat atas rumahnya bersama isteri berusia 31 tahun dan anak berusia tiga tahun.

"Seorang lelaki berbaju lengan panjang dan bertopi mengejutkan mangsa sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

"Bagaimanapun sebaik sahaja isteri mangsa terjaga daripada tidur, suspek terus melarikan diri ke bahagian belakang rumah dengan memanjat tembok," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Acryl Sani berkata, siasatan awal polis mendapati tiada kesan pecah masuk dan pihaknya tidak menolak kemungkinan pintu belakang rumah mangsa tidak dikunci.

Katanya, pemeriksaan mendapati tiada barang milik keluarga berkenaan hilang.

"Setakat ini, polis percaya motif penjenayah itu adalah menceroboh masuk rumah mangsa untuk mencuri,'' katanya.

Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan Wong sempat mengarahkan isterinya memasang lampu bilik tidur serta memintanya menghubungi seorang bapa saudaranya untuk mendapatkan bantuan ketika bergelut dengan penjenayah.

Sejurus tiba, bapa saudaranya menghubungi pihak polis, namun Wong telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk bedah siasat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...