Isnin, 18 Jun 2012

Peralatan Hospital Tung Shin dicuri


Image Detail
KUALA LUMPUR 16 Jun - Jika sebelum ini, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pernah menjadi sasaran pencuri yang melarikan ubat-ubatan bernilai lebih RM1 juta, insiden sama berlaku di Hospital Tung Shin di Jalan Pudu di sini pada Isnin lalu.

Bagaimanapun dalam kejadian kali ini, pencuri tidak mengambil ubat-ubatan tetapi memilih melarikan endoskop dan mesin pemprosesan alat itu bernilai kira-kira RM500,000.

Difahamkan, penjenayah mengambil kesempatan memecah masuk ke Unit Endoskopi terletak di tingkat 3 bangunan hospital itu antara pukul 9 malam pada Isnin lalu dan awal pagi Selasa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kejadian itu dilaporkan kepada polis pada pukul 11 pagi oleh seorang jururawat hospital berkenaan pada Selasa lalu.

Beliau berkata, dalam laporannya, jururawat berusia 25 tahun itu memaklumkan terdapat 11 endoskop disimpan dalam almari di Unit Endoskopi telah hilang.

"Selain endoskop, pencuri juga melarikan dua set mesin pemprosesan dari dua bilik berlainan di tingkat yang sama menyebabkan hospital itu mengalami kerugian kira-kira RM500,000," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Endoskop adalah alat yang digunakan untuk memeriksa organ dalam tubuh manusia khususnya saluran pencernaan secara visual bagi membolehkan doktor melihat melalui layar monitor setiap kelainan organ pesakit yang diperiksa.

Difahamkan, Hospital Tung Shin mempunyai 13 endoskop tetapi dua daripadanya tidak boleh digunakan kerana mengalami kerosakan dan pencuri hanya melarikan peralatan yang masih berfungsi dengan baik, sekali gus menggambarkan suspek dalam kes itu mungkin membabitkan kakitangan yang bertugas di hospital berkenaan.

Mengulas lanjut, Khairi berkata, setakat ini, polis telah menahan dua lelaki bertugas sebagai pengawal keselamatan di hospital itu bagi membantu siasatan.

"Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati suspek telah mengumpil tingkap dari luar koridor dan memecah masuk ke dalam untuk membuka pintu yang kesemuanya tidak berkunci.

"Tempat kecurian tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan usaha mengesan suspek melalui CCTV dipasang di pintu masuk utama masih dijalankan bersama pihak keselamatan hospital," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...