Isnin, 18 Jun 2012

Terima Rasuah RM130, Anggota Polis Kekal Dihukum Penjara, Denda RM10,000.


Image Detail
PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan  hukuman penjara selama 14 hari dan denda RM 10,000  ke atas seorang anggota polis selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen Sungai Petani melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegah Rasuah 1997.

Tertuduh, Gunasegaran A/L Kuppusamy, pada 16 Jun 2000 pada pukul 4 pagi berhampiran Pasaraya Ceria, Teman Pekan Baru, Daerah Kuala Muda, Kedah telah secara rasuah bersetuju untuk menerima wang rasuah sebanyak RM 130.00 daripada Asmawi Bin Balkis yang merupakan sebahagian daripada jumlah penuh RM 500.00 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Asmawi Bin Balkis dan kawan-kawannya yang dikatakan telah melakukan kesalahan berkhalwat.

Hakim-hakim Mahkamah Rayuan, YA Dato’ Hj. Abdul Malik Bin Ishak, YA Datuk Clement Allan Skinner dan YA Dato’ Linton Albert memutuskan untuk mengekalkan  hukuman Mahkamah Sesyen Sungai Petani.  SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwaraya Allan Suman Pillai manakala tertuduh diwakili peguambela Encik Athimulan dan Encik Raman.

Bagi kesalahan  di atas , seseorang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 14 hari hingga 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah suapan atau RM 10, 000.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...