Jumaat, 22 Jun 2012

Polis Seberang Perai Selatan tubuh pasukan khas siasat kes baling bom


Gambar hiasan

NIBONG TEBAL: Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) menubuhkan satu pasukan petugas khas menyiasat dua kejadian membaling bom buatan sendiri di Simpang Ampat, baru-baru ini. 

Ketua Polis Daerah, Superitendan Shafien Mamat, berkata polis memandang serius kejadian itu dan bimbang ia akan berleluasa.
Katanya, berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian, bahan yang digunakan dalam dua kes itu adalah berbeza dan dipercayai dilakukan pihak berasingan.
"Bahan yang digunakan itu dihantar ke unit forensik untuk siasatan lanjut dan hasil ujiannya akan diketahui dalam tempoh terdekat," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. 

Pada kejadian 10 Jun lalu, sebuah rumah di Taman Belibis, Simpang Ampat dilontar sebiji bom buatan sendiri manakala pada 15 Jun seorang suri rumah terkejut bila terdengar bunyi letupan di atap dapur rumahnya di Taman Merak, juga di Simpang Ampat. 

Shafien berkata, pihaknya percaya kedua-dua perbuatan itu dilakukan oleh ah long untuk menakut-nakutkan mangsa dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. 

Sementara itu, Shafien berkata, polis mencari dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang bekas banduan ditemui mati di Simpang Ampat, dekat sini 3 Jun lalu. 
Katanya, lelaki pertama dikenali sebagai K Krihnamoorty, 29, alamat No 8, Lorong 6, Taman Cegar, Simpang Ampat di sini dan rakannya, K Tamil Arrasan, 22, di alamat 1246 Mukim 15, Ladang Valdor, Sungai Bakap. 

"Kita percaya kedua-dua lelaki ini dapat membantu polis berhubung kejadian gaduh dan bunuh itu dan orang ramai yang mengenali mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan," katanya. 

Pada kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, G Shanmugam, 28, yang baru dibebaskan dari Penjara Pulau Pinang atas kesalahan dadah ditemui mati selepas bergaduh di depan Restoran Tomyam di Taman Tambun Indah, Simpang Ampat. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...