Jumaat, 6 Julai 2012

Bas diserang, pemandu dipukul


Gambar hiasan

IPOH - Seorang pemandu bas Transit Perak Berhad dilaporkan cedera dipukul oleh empat lelaki yang menyerang bas itu di Jalan Lim Boon Seng di sini hari ini.
    
D. Maniraja, 50, cedera di kepala dan badan akibat dipukul dengan objek keras dan dia telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Permaisuri Bainun di sini.
    
Kejadian berlaku pada pukul 6.50 pagi ketika dia sedang membawa penumpang yang terdiri daripada lima pelajar sekolah dari Medan Kidd ke Bercham.
    
"Ketika berhenti di simpang lampu isyarat, beberapa orang membaling batu ke arah cermin bas sehingga pecah serta mengetuk pintu bas," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
    
Maniraja berkata dia kemudiannya membuka pintu bas itu lalu empat lelaki yang dijangka berumur lingkungan 30-an terus masuk ke dalam bas dan memukulnya di kepala dan badan dengan objek keras.

Dia kemudiannya berjaya melarikan diri sementara lima pelajar tersebut diarahkan keluar oleh empat lelaki berkenaan.
    
Maniraja berkata bas itu kemudiannya dipandu oleh salah seorang daripada lelaki tersebut, tetapi kemudiannya terbabas serta merempuh tiang lampu di susur jalan berhampiran Hotel Riverfront, kira kira 500 meter daripada tempat kejadian.
    
Kesemua lelaki berkenaan kemudiannya dilihat melarikan diri.
    
Maniraja tidak pasti mengapa dia diserang.
    
Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis sedang menjalankan siasatan. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...