Isnin, 9 Julai 2012

Kabel dicuri empat kali: Punca air tangki simpanan melimpah


MENTAKAB – Perbadanan Air Pahang Berhad (Paip) mengenal pasti masalah limpahan tangki air di Taman Seri Layang berpunca daripada kehilangan kabel kawalan dipercayai dicuri sejak sebulan lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong berkata, beliau difahamkan masalah kecurian kabel kawalan paras air di menara itu berlaku sebanyak empat kali.

Menurutnya, Paip menukar kabel itu setiap kali berlaku kecurian, namun keadaan masih berterusan mungkin disebabkan kawasan menara tersebut terlalu terbuka sehingga memudahkan pencuri melarikan kabel-kabel terbabit.

“Sebab itu, kita arahkan Paip memasang semula pagar di sekeliling menara supaya dapat menghalang kejadian tersebut berulang.

“Kerosakan sistem kawalan paras air di menara itu akan menyebabkan limpahan air berterusan sekali gus merugikan Paip,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke menara tangki air Taman Seri Layang, di sini, semalam.

Turut hadir, Pegawai Operasi Paip, Basri Abdul Mubin; Ketua MIC daerah, A Siva dan wakil MCA Parlimen Temerloh, Au Tong Hai.

Boon Seong berkata, berlaku sedikit masalah setiap kali air dalam tangki kering menyebabkan penduduk terpaksa menunggu paras air tangki utama penuh semula untuk mendapatkan bekalan seperti biasa.

Menurutnya, walaupun tidak terlalu membebankan, tetapi masalah itu turut memberi kesan kepada kerajaan kerana Taman Seri Layang dihuni lebih 20,000 penduduk.

“Kesan limpahan air di bawah tangki utama ini tidaklah terlalu teruk, tetapi ia merupakan pembaziran,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Gan Ong Sin, 60, berkata, limpahan daripada tangki itu berlarutan sejak lebih sebulan lalu.

Menurutnya, keadaan itu memerlukan tindakan segera kerana ia turut memberi kesan kepada padang permainan berhampiran.

“Limpahan air akan mengalir masuk ke kawasan padang permainan bersebelahan dan sudah tentu akan mendatangkan kerosakan jika ia berterusan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...