Rabu, 11 Julai 2012

Mati ditikam bertubi-tubi


Mati ditikam bertubi-tubi


TAIPING - Peniaga perabot, Ong Chee Leong, 58, mati selepas ditikam bertubi-tubi dengan benda tajam oleh seorang lelaki yang masuk ke premisnya di Jalan Tupai, di sini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, kedai perabot itu dipercayai baru beroperasi tujuh bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi semalam, mangsa didatangi seorang lelaki bertopeng dan sebaik suspek masuk ke dalam premis itu berlaku satu pertengkaran.

"Kedua-dua mereka bergelut sebelum suspek menikam bertubi-tubi mangsa dengan benda tajam di dada dan perutnya."Mangsa yang berlumuran darah tertiarap di lantai dan suspek sempat merampas dompet mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta yang dipandu rakannya," katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Taiping.Isteri mangsa yang dikenali sebagai Ong, 40an, pengsan setelah diberitahu tentang kejadian menimpa suaminya dan turut dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

“Isteri mangsa masih berada dalam keadaan trauma kerana terkejut dengan kejadian itu.

"Difahamkan, sewaktu kejadian itu isteri mangsa sedang melayan pelanggan di belakang premis mereka," katanya.
 
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci tentang motif pembunuhan.
 
Tambahnya, polis juga akan menyiasat latar belakang mangsa, kerana mangsa masih baru di kawasan itu dan tidak banyak berinteraksi dengan penduduk sekitar.

“Sebelum ini, mangsa dipercayai turut menjalankan perniagaan yang sama di Batu Kurau dan pihak kami akan menjalankan siasatan sama ada mangsa dirompak atau ada motif lain," katanya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...