KOTA BHARU - “Saya nekad kejar dua perompak itu, walaupun dalam keadaan parah kerana ingin menyelamatkan wang, dan barangan berharga dalam kedai,’’ kata Mohd Firdaus Abdullah, 23, yang parah ditetak dalam kejadian rompak dan tetak di Kubang Kerian, kelmarin.
Dalam kejadian petang kelmarin, Mohd Firdaus yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan cuba mengejar dua lelaki yang melarikan sejumlah wang tunai, komputer riba, jam dan beberapa barangan runcit dalam kedai milik ibu saudaranya itu.
“Ketika itu saya langsung tidak endah tentang diri saya, yang penting saya nak dapatkan semula barangan berharga yang diambil dua lelaki itu.
“Kedua-duanya yang datang menaiki motosikal, tidak mencabut topi keledar yang dipakai mereka, malah masuk ke dalam kedai dalam keadaan tergesa-gesa dan bertanyakan mengenai rempah kari sama ada terdapat di kedai milik ibu saudara saya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, semalam.
Firdaus berkata, sejak empat bulan menjaga kedai terbabit, dia tidak pernah nampak kelibat kedua lelaki itu datang ke kedai berkenaan.
Apabila mereka bertindak mengambil duit dan melarikan barangan dalam kedai, saya cuba melawan dan lelaki yang membawa parang itu terus menetak belakang kepala dengan tiga tetakan selain terkena di tangan termasuk di bahagian rusuk," katanya.
Menurutnya, selepas ditetak dia cuba mengejar lelaki terbabit namun pendarahan yang banyak di bahagian kepala menyebabkan dia berhenti dan cuba di tenangkan oleh beberapa orang awam yang berada berhampiran kawasan itu.
“Hampir 20 minit menunggu, akhirnya sebuah kereta lelaki Cina berhenti dan terus membawa saya ke unit kecemasan HUSM untuk menerima rawatan. Sesampai di hospital, barulah saya sedar saya mengalami kecederaan yang parah dan doktor mengesahkan tempurung kepala saya retak, namun tetap bersyukur kerana terselamat dan kini dalam keadaan stabil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, hasil siasatan polis terhadap Firdaus, mangsa tidak mengenali dua lelaki yang menyerangnya dalam rompakan terbabit.
“Mangsa tidak berapa cam wajah dua suspek kerana tidak nampak jelas namun boleh mengenal pasti mereka. Setakat ini menurut mangsa, dia juga tidak pernah berhutang atau bermusuh dengan sesiapa, dan polis giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kedua-dua suspek yang terlibat