Rabu, 11 Julai 2012

Penjenayah Bakar bilik selepas geledah


Bilik bersepah selepas digeledah penjenayah.
SEREMBAN – Sekumpulan penjenayah sanggup membakar sebuah bilik di rumah mangsa dalam cubaan samun bagi menghapuskan bukti di Taman Sentosa, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kumpulan penjenayah terbabit dipercayai memecah masuk rumah berkenaan dengan memotong kunci mangga jeriji pintu hadapan kediaman itu.

Jurucakap polis berkata, penjenayah menyelerakkan pelbagai barangan rumah sebelum membakar sebuah bilik di rumah berkenaan.

“Mereka tidak mengambil sebarang barangan milik penghuni rumah.

“Hasil siasatan awal mendapati, selepas suspek menggeledah rumah, mereka membakar sebuah bilik di rumah berkenaan sebelum meninggalkannya,” katanya.

Menurutnya, jiran sebelah yang terhidu asap terkejut melihat sebuah bilik terbakar dan segera menghubungi bomba.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan penghuninya bercuti ke Melaka ketika kejadian berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

“Kita masih menunggu laporan daripada pihak forensik dan bomba mengenai nilai kerugian serta punca sebenar kebakaran," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat menggunakan  api.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...