Selasa, 10 Julai 2012

Wanita mangsa ragut maut selepas 23 jam bertarung nyawa


Gambar hiasan
MELAKA 8 Julai - Selepas bertarung nyawa hampir 23 jam akibat menjadi mangsa ragut dua lelaki bermotosikal, seorang kerani wanita yang koma dalam jenayah kejam itu akhirnya meninggal dunia pagi ini.

Tang Mui Choo, 35, yang mengalami kecederaan parah di kepala dan patah tulang rusuk sehingga menikam paru-parunya, meninggal dunia pukul 7 pagi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Mangsa yang belum berkahwin cedera parah akibat terjatuh daripada motosikal setelah diragut dua lelaki ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Wanita itu yang menetap di Taman Pokok Mangga ditemui orang ramai dalam keadaan berlumuran darah di Jalan Benteng, Balai Panjang, Pokok Mangga yang terletak dua kilometer dari rumahnya kira-kira pukul 8.05 pagi semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan R. Gunarajan berkata, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri melalui jalan pintas itu untuk ke tempat kerjanya di Kampung Lapan, Bachang.

"Ada saksi nampak dua lelaki berpakaian gelap menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z meragut beg tangan mangsa yang diletakkan dalam bakul motosikal.

"Mangsa cuba melawan dan berlaku pergelutan sehingga dia terjatuh di atas jalan raya bersebelahan tali air," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah beliau, saksi tersebut yang menaiki sebuah kereta cuba mengejar suspek namun gagal setelah terhalang dengan motosikal mangsa yang terjatuh di tengah-tengah jalan pintas itu.

Gunarajan berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang memburu dua penjenayah terbabit.

Sementara itu, abang mangsa, Tang Ah Jit, 41, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu setelah dihubungi salah seorang saudaranya yang memaklumkan adiknya cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan.

"Tidak lama selepas keluar mencarinya, isteri saya terima panggilan daripada hospital dan doktor memberitahu adik saya mengalami pendarahan di kepala selain tulang rusuk kanannya patah dan menikam paru-paru.

"Selepas dimasukkan ke ICU, kira-kira pukul 4 pagi tadi doktor memberitahu denyutan jantungnya semakin lemah dan sejak itu saya berada di sisinya sehingga dia disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...