Khamis, 9 Ogos 2012

Geng Bateri mengganas

Gambar hiasan
IPOH: Pemilik kereta sekitar bandar raya ini dihantui kebimbangan apabila muncul penjenayah ‘Geng Bateri’ yang dikesan menyasarkan bateri yang dipasang pada kereta sebagai buruan utama kegiatan sejak beberapa bulan lalu.

Suspek yang dipercayai bergerak secara berkumpulan dikesan mempunyai kebolehan untuk membuka bonet kereta mangsa tanpa dapat dikesan alat penggera kenderaan berkenaan.

Dalam kes terbaru kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, lima kereta milik guru sekolah menengah di sini, dicerobohi penjenayah yang melarikan lima bateri kereta itu serentak ketika kenderaan mangsa diletakkan di kawasan lapang berhampiran Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Choy, Jalan Kuala Kangsar, di sini.

Dalam kejadian itu, kelima-lima guru berkenaan dikatakan meletakkan kereta di kawasan lapang di luar sekolah berkenaan ketika menghadiri aktiviti di sekolah.


Seorang mangsa mahu dikenali Teh, 30-an, mendakwa dia yang selesai menghadiri aktiviti di sekolah itu kemudian berjalan kaki menuju ke arah keretanya untuk pulang ke rumah.

Menurutnya, dia bagaimanapun terkejut apabila mendapati pintu keretanya terbuka dan pelbagai barang berharga di dalam kereta miliknya itu dilarikan penjenayah.

“Penjenayah berupaya membuka pintu kereta saya tanpa menyebabkan alat penggera kereta berbunyi. Saya kemudian cuba menghidupkan enjin kereta berulang kali, namun tidak berjaya.

“Saya cuba membuka bonet hadapan kereta untuk mengenal pasti punca, namun terkejut apabila mendapati bateri kereta ‘ghaib’ dipercayai dilarikan penjenayah sama,” katanya.

Menurutnya, empat guru lain yang meletakkan kenderaan berhampiran keretanya turut menerima nasib sama apabila kereta mereka dipecah masuk penjenayah.

“Malah, bateri kereta mereka turut dicabut dari bahagian enjin hadapan dan dilarikan. Kejadian jenayah ini memang pelik kerana suspek seolah-olah memang menjadikan bateri kereta kami sebagai sasaran utama,” katanya.

Sementara itu pihak sekolah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Choy berkata, kawasan lapang berkenaan bukan terletak di bawah seliaan sekolah berkenaan sebaliknya adalah tanah persendirian yang kerap menjadi lokasi ibu bapa pelajar sekolah berkenaan meletakkan kenderaan.

Harian Metro sebelum ini pernah menyiarkan kejadian sama apabila seorang wartawan televisyen menjadi mangsa apabila keretanya dipecah masuk penjenayah sebelum bateri kenderaannya dilarikan ketika diletakkan di Masjid Negeri, di sini.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh yang dihubungi berkata, pihaknya mendapat laporan berhubung beberapa kes seumpama itu dan masih menjalankan siasatan bagi memburu suspek bertanggungjawab.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...