Khamis, 9 Ogos 2012

Kes curi kenderaan meningkat


Kes curi kenderaan meningkat
SUNGAI PETANI –  Kecuaian pemilik kenderaan yang tidak mengaplikasikan aspek keselamatan terhadap kenderaan masing-masing antara faktor yang paling mudah mendorong berlakunya kecurian kenderaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kecuaian merupakan faktor utama selain  kegiatan yang didalangi bekas banduan yang kerap kali keluar masuk penjara adalah faktor berlakunya jenayah kecurian kenderaan di daerah ini.
Menurutnya, orang ramai perlu peka terhadap keselamatan kenderaan bagi mengekang gejala itu yang dilihat semakin meningkat berdasarkan statistik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.
“Walaupun kadar jenayah di Kuala Muda ini tidaklah tinggi tetapi kes kecurian kenderaan menunjukkan peningkatan.
“Pada 2010, sebanyak 1,475 kes dilaporkan melibatkan kecurian motokar, motosikal, van dan lori manakala pada 2011, sebanyak 2,086 kes dicatatkan. Bagaimanapun, tujuh bulan pertama 2012, sebanyak 832 kes sudah pun dilaporkan.
“Ini menunjukkan kes kecurian kenderaan semakin meningkat dan pelbagai usaha kita jalankan bertujuan menyelamatkan kenderaan dan harta benda dari terlibat dengan jenayah,” katanya ketika Kempen Cegah Kecurian Kenderaan di Village Mall, kelmarin.
Katanya, orang ramai boleh memasang penggera bunyi yang mampu menyelamatkan kenderaan sekiranya dipecahkan selain memberi pengingatan bahawa berlaku kecurian dalam kawasan tertentu.
“Kesibukan masyarakat juga membuka peluang penjenayah mencuri contohnya meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin tidak dimatikan walaupun dalam masa singkat,” katanya.
Dalam pada itu, Hashim berkata, hanya 25 peratus sahaja kenderaan curi dapat ditemui semula.
“Laporan polis yang dibuat melebihi 48 jam selepas kecurian menyukarkan siasatan dilakukan kerana kenderaan curi berpotensi dilarikan jauh ataupun komponennya sudah diasingkan untuk dijual kepada pihak tertentu,” katanya.
Beliau juga meminta kerjasama pemilik kedai baiki kereta yang didatangi individu disyaki membawa kenderaan atau komponen curi menghubungi dan menyampaikan maklumat kepada polis.
“Setakat ini kita kenal pasti beberapa kedai terlibat dengan pembelian kenderaan curi di sekitar daerah ini,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...