BALING - Sebanyak RM81,000 gaji pekerja Ladang Kupang berdekatan Kampung Tanjung Merbau, Mukim Kupang lesap dalam kejadian samun bersenjata di ladang terbabit kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.
Kejadian berlaku ketika pengurus ladang berkenaan bersama dua pekerjanya dalam perjalanan pulang membawa wang berkenaan untuk diserahkan kepada kira-kira 100 pekerja ladang itu.
Pengurus ladang, Ahmad Zaki Hussin berkata, kereta yang dinaikinya itu ditahan empat lelaki yang menaiki motosikal.
“Pekerja saya yang juga pemandu kereta memperlahankan kenderaan kerana tidak menyangka keempat-empat lelaki terbabit adalah penyamun.
Menurutnya, dia dan pekerja lain tergamam setelah mendapati dua daripada lelaki terbabit mengeluarkan parang dan kapak seterusnya memecahkan cermin tingkap kenderaan mereka.
"Saya tidak mempunyai pilihan melainkan menyerahkan beg terbabit,” katanya yang berada di kerusi hadapan penumpang sewaktu kejadian.
Ahmad Zaki berkata, dia bersama pekerjanya itu bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
“Saya dan rakan kemungkinan mengalami kecederaan parah sekiranya bertindak mempertahankan wang berkenaan,” katanya.
Katanya, dia tidak mengesyaki sesiapa dalam kejadian itu tetapi terlihat bekas pekerjanya berdekatan bank ketika dia mengeluarkan wang terbabit.
“Pekerja itu dibuang kerja sejak beberapa minggu lalu. Namun, saya tidak pasti adakah lelaki terbabit terlibat dalam kejadian ini ataupun tidak,” katanya.