Jumaat, 17 Ogos 2012

Keberkesanan Program Cegah Jenayah Akan Dikaji - Hishammuddin


PETALING JAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Beberapa program yang menyasarkan penurunan kadar jenayah akan diperkasa melalui kajian semula terhadap keberkesanan inisiatif itu bermula bulan depan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kajian semula terhadap program Rakan Cop, MyDistress, Talian Nur, Rukun Tetangga, dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) itu dicadang supaya penambahbaikan dapat dibuat bagi memenuhi matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Jenayah.

"Saya telah minta program itu dikaji dan Insyaallah selepas Aidilfitri kita akan berbincang untuk menentukan program mana yang boleh diperhebat dan diperluaskan lagi.

"Kajian ini bagi membolehkan kementerian mengenal pasti program mana yang betul-betul berkesan dalam mengurangkan jenayah, dan jika sebaliknya, kita juga nak tahu sebab ia tidak berkesan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Rumah Selamat peringkat Petaling Jaya sempena sambutan Aidilfitri di sini, pada Khamis.

Beliau berkata keberkesanan 'Op Selamat' yang menggantikan 'Ops Sikap' sempena musim perayaan juga akan dibincangkan ketika itu sama ada perlu ditambah baik untuk pelaksanaannya di masa depan. BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...