PUCHONG: Menyamar sebagai pelanggan sebelum menyamun itu taktik empat lelaki menceroboh kedai alat perkakasan elektrik di Kampung Sri Aman Hilir 1, dekat sini, menyebabkan pemiliknya kerugian RM11,000, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, tiga pekerja berusia 20-an menyusun barang didatangi kereta pacuan empat roda sebelum tiga lelaki menyamar pelanggan masuk kedai seolah-olah mencari barang.
Menurut sumber, pekerja terbabit tidak mengesyaki pada mulanya melayan suspek beberapa minit sebelum mereka keluar dari kedai.
“Selang beberapa minit mereka datang semula dan mengacukan parang ke arah pekerja. Suspek mengarahkan mesin wang dibuka sebelum merampas hasil jualan RM10,000,” katanya.