Ahad, 19 Ogos 2012

Kiosk Bank Dipecah Masuk, Mesin ATM Dilarikan Di Pagi Syawal



KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dilarikan sekumpulan perompak dalam kejadian di sebuah kiosk bank di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, kira-kira 2.30 pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kejadian dipercayai dilakukan dalam tempoh sejam itu hanya disedari oleh orang awam selepas mendapati berlakunya kebakaran dari kiosk berkenaan sebelum memaklumkan kepada pihak bomba.

Beliau berkata bomba yang tiba di tempat kejadian pada 4 pagi berjaya memadam kebakaran, yang dipercayai disengajakan hasil penggunaan alat memotong mesin menggunakan 'portable oxcytelene'.

"Di dalam kiosk itu terdapat sebuah mesin deposit tunai yang tidak diusik dan dua buah mesin ATM yang sebuah daripadanya berjaya dipecah dan dilarikan manakala sebuah mesin lagi juga dipercayai cuba dilarikan berdasarkan kesan diumpil, namun gagal," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Ku berkata siasatan awal mendapati lima buah kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang termasuk pada mesin di dalam kiosk itu disembur dengan cat berwarna hitam bagi mengelakkan identiti mereka dikenal pasti.

"Jumlah kerugian masih disiasat dan gerakan menjejaki kumpulan berkenaan giat dilakukan," katanya.

Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati bahagian depan mesin ATM yang dilarikan terbakar sepenuhnya, manakala mesin kedua diumpil di bahagian penyimpanan wang dan CCTV pada mesin deposit tunai disembur dengan cat hitam.

Terdahulu rumah terbuka ketua polis negara, yang menjadi acara tradisi turut dihadiri penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza dan suami Datuk Khalid Mohd Jiwa serta pegawai kanan dan anggota Polis Diraja Malaysia. -- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...