Ahad, 19 Ogos 2012

Penembak tepat kawal keselamatan

PASUKAN polis bermotor melakukan latihan sebelum ditugaskan mengawal
keselamatan awam sepanjang sambutan Aidilfitri. - AGENSI
 

MEDAN, Sumatera Utara - Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri esok, pihak polis di sini akan menggerakkan pasukan polis bermotor dan menempatkan berpuluh-puluh penembak tepat di kawasan-kawasan panas.

Ia dilakukan sebagai usaha memberi keselesaan dan keselamatan kepada orang awam yang pulang beraya menyambut Aidilfitri di kampung halaman.

Pegawai polis daerah Labuhanbatu, Sumatera Utara, AKBP Hirbak Wahyu Setiawan berkata, pihaknya akan mengarahkan 20 penembak tepat yang ditempatkan di empat kawasan panas di wilayah Jalinsum.

Katanya, tempat-tempat terbabit adalah Jalinsum Aek Kanopan Aek Natas di daerah Labuhanbatu Utara, Jalinsum Bilah Hulu di daerah Labuhanbatu, dan Jalinsum Torgamba di daerah Labuhanbatu Selatan.

Beliau juga berkata, penembak tepat akan ditempatkan di Serdangbedagai.
"Kesemua penembak tepat yang didatangkan dari pasukan khas Brimob akan dikerah berkawal di kawasan tumpuan jenayah," katanya kepadahariansumutpos.com.

Selain itu, anggota polis turut ditempatkan di stesen bas dan kereta api yang sering menjadi tumpuan kes kecurian yang tinggi.

Malah kesemua anggota polis yang ditugaskan akan memakai pakaian lengkap dan tidak berpakaian preman. - AGENSI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...