Selasa, 7 Ogos 2012

Pelajar rugi RM3,000

Gambar hiasan

SUBANG JAYA – Seorang pelajar kerugian RM3,000 selepas ditipu individu yang menyamar sebagai pekerja bank ketika ingin mendaftar sistem perbankan online di sebuah bank di SS15, di sini.
Difahamkan, mangsa berusia 18 tahun sebelum itu dikatakan menghadapi kesulitan melakukan urusan berkenaan di mesin juruwang automatik (ATM) sebelum didekati seorang lelaki berusia lingkungan 30-an.
Melihat mangsa seolah-olah menghadapi masalah di mesin itu, lelaki berpakaian kemas dan memakai tag nama seperti pekerja bank merapatinya dan menawarkan bantuan.
Lelaki berkenaan kemudian memberitahu mangsa perlu mengeluarkan wang tunai sebanyak RM3,000 dan mendepositkan semula ke dalam akaun untuk memudahkan urusan pendaftaran.
Tanpa mengetahui niat jahat suspek, mangsa menuruti arahannya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek menyuruh mangsa masuk ke satu ruang pejabat dan memintanya mengisi satu borang dan pada masa sama kononnya mendepositkan duit mangsa.
Katanya, suspek mengeluarkan semula wang itu daripada mesin ketika mangsa leka mengisi borang.
“Mangsa hanya sedar dirinya ditipu apabila wang berkenaan didapati tidak dimasukkan ke dalam akaun dan suspek menghilangkan diri serta gagal dikesan.
“Siasatan lanjut mendapati suspek bukan pekerja di institusi kewangan itu. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihak polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank berkenaan hari ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...