Selasa, 7 Ogos 2012

Perdana Menteri Lancar '1Malaysia Privilege Card'

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Sebagai menghargai sumbangan jasa serta bakti anggota polis dan tentera, kerajaan memperkenal satu lagi inisiatif terbaru bagi meringankan beban mereka dengan melancarkan kad '1Malaysia Privilege Card' khusus buat 241,000 anggota dan pegawai kedua-dua pasukan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 6 (NBOS 6) itu membolehkan pemegang kad berkenaan mendapat diskaun antara lima dan 25 peratus daripada harga produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh kira-kira 20 syarikat yang mengambil bahagian.

Beliau berkata ia bertujuan memberi manfaat kepada warga Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, yang dirujuk beliau sebagai kumpulan "Wira Yang Tidak Didendang", sebagai lanjutan kepada strategi NBOS 6, yang berkisar kepada kerjasama unik antara pelbagai jabatan serta agensi kerajaan yang diperkenalkan Malaysia, khusus untuk manfaat rakyat dan negara.

"Mudah-mudahan kad ini dapat digunakan untuk menambah lagi kuasa membeli atau 'pendapatan boleh guna' rakyat," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran kad itu serta portal 1Malaysia Privilege Card www.1mprivilege.my di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Selasa.

Turut hadir di majlis pelancaran itu ialah Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Inisiatif menerusi strategi NBOS 6 ini menyaksikan kerjasama antara tiga kementerian berkenaan, yang membolehkan pemegang kad itu menikmati diskaun dalam pelbagai perbelanjaan barangan keperluan harian, alat sukan, alat ganti kenderaan, perhotelan, barangan kesihatan dan banyak lagi, yang senarai syarikat mengambil bahagian serta tawaran-tawaran mereka boleh disemak di portal berkenaan.

Perdana Menteri berkata kerjasama tentera dan polis memberi banyak manfaat kepada negara, dan beliau memberi contoh langkah dua pasukan keselamatan itu berkongsi tempat latihan rekrut, membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan bernilai ratusan juta ringit.

Beliau berkata pencapaian objektif yang lebih pantas diperlukan dalam usaha membawa transformasi besar negara, di samping penjanaan idea-idea yang kreatif, serta pelaksanaan agenda yang lebih cepat, tepat dan berintegriti.

"Saya percaya melalui usaha sebegini dan daripada dasar-dasar yang kerajaan jalankan, kejayaan negara akan menjurus kepada apa yang kita impikan, tapi segala impian kita ini tonggaknya mesti kepada keselamatan, keamanan dan kestabilan," katanya.

Inilah jaminan masa depan kita, di samping komitmen kita mempertahankan ketinggian perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dalam negara, dan tuan-tuan dan puan-puanlah yang menjamin segala impian boleh menjadi realiti. Tuan-tuan dan puan-puan adalah wira yang tidak didendang tapi besar sumbangan dan pengorbanan kepada rakyat dan negara," tambahnya.

Perdana Menteri kemudiannya melawat ruang-ruang pameran yang disertai oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian.

Terdahulu, Husni dalam ucapannya di majlis itu berkata inisiatif 1Malaysia Privilege Card dilaksanakan dalam tiga fasa, yang bermula dengan pegawai serta anggota beruniform tentera dan polis, diikuti dengan fasa kedua yang melibatkan pesara kedua-dua pasukan, dan fasa ketiga melibatkan lain-lain kategori perkhidmatan yang akan dikenal pasti nanti.

Menurutnya bermula hari ini kad berkenaan akan diagih secara berperingkat kepada 241,000 pegawai serta anggota, melibatkan 130,000 dari pasukan tentera dan 111,000 dari pasukan polis.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...