Isnin, 3 September 2012

Penggunaan senjata api secara tidak sah di negara ini masih didominasi sindiket atau kongsi gelap


KUALA LUMPUR: Penggunaan senjata api secara tidak sah di negara ini masih didominasi sindiket atau kongsi gelap tertentu bagi melindungi kegiatan haram mereka seperti pengedaran dadah, perjudian, pemerasan atau pusat hiburan yang dijalankan secara haram.

Ia biasanya digunakan untuk memastikan aktiviti golongan itu tidak diganggu pihak berkuasa atau dicabar pihak lain, sekali gus mendedahkan setiap anggota penguat kuasa, khususnya polis, dengan pelbagai ancaman ketika menjalankan tugas.


Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, pihaknya sentiasa mengawasi perkembangan itu dan menyifatkan ia masih terkawal dengan adanya pencegahan dan penguatkuasaan berterusan.



“Kita sentiasa pantau dan peka dengan perkara berkenaan, namun kita juga harus sedar kawasan sempadan kita sangat luas dan sukar mengintip setiap inci ruang yang ada.


“Yang boleh saya katakan, kegiatan jenayah membabitkan senjata api di negara ini tidak membimbangkan dan orang ramai tidak perlu risau,” katanya ketika ditanya mengenai tiga kes kematian membabitkan senjata api dilaporkan dalam masa seminggu.



Beliau berkata, tidak adil jika menyatakan kes membabitkan senjata api menjadi-jadi kerana beberapa kes yang dilaporkan hanya membabitkan di kawasan tertentu, malah ia pasti mempunyai motif yang kini masih dalam siasatan.




“Seperti saya katakan, senjata api biasanya digunakan kongsi gelap atau sindiket tertentu untuk melindungi kepentingan atau aktiviti sulit mereka dan kita sentiasa berusaha mengesan kewujudannya serta mengalu-alukan maklumat orang ramai,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, sejak 2009 polis merampas pelbagai senjata api daripada pengedar yang ditahan dalam beberapa siri serbuan di seluruh negara.



Menurutnya, senjata itu biasanya digunakan untuk melindungi kegiatan mereka daripada diganggu, namun pihaknya ada pendekatan sendiri untuk melumpuhkan aktiviti itu.


Setakat ini, katanya, pihaknya belum menerima maklumat mengenai tawaran atau pakej yang menawarkan senjata api secara percuma kepada pengedar tempatan oleh pembekal dadah dari negara jiran.



“Walaupun ada tangkapan membabitkan rampasan senjata api, saya tidak menerima maklumat mengenai perkara itu, tetapi yang pasti kebanyakan dadah berkenaan sememangnya masuk melalui pintu sempadan negara.



“Walaupun mustahil mengawasi segenap ruang sempadan, kita tidak pernah membuka peluang kepada penyeludup, terutama pengedar dadah, membolosi sempadan negara dengan mudah,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...