Isnin, 3 September 2012

RAMAI KE POLIS WANITA DAN SAMPAI BILA ???

Polis dekati wanita cegah ragut
Polis dekati wanita cegah ragut


KOTA BHARU - Ekoran kes samun dan tetak melibatkan seorang wanita Rabu lalu, Polis Kelantan semalam secara serta merta memulakan Operasi Cegah Ragut Khas di sekitar Bandar ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

Orang ramai yang ditemui menyambut baik inisiatif berkenaan sebagai langkah untuk mengatasi jenayah ragut di kawasan-kawasan berisiko di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisoner Azham Othman berkata, kira-kira 150 pegawai dan anggota polis wanita turun padang bermula semalam yang dilaksanakan dalam tempoh dua minggu untuk mendekati pengunjung wanita di sekitar bandar.

“Pegawai akan bertugas mengikut syif bermula jam 10 pagi hingga lewat malam di sesetengah kawasan akan berkongsi maklumat mengenai cara-cara menjaga keselamatan serta menasihati pengunjung.

“Anggota ini akan dikerahkan bertugas di 20 kawasan tumpuan pengunjung wanita membeli belah dan lokasi riadah yang berisiko berlakunya jenayah ragut termasuk sekitar Pasar Bersepadu Wakaf Che Yeh,” katanya kepada media  selepas mengetuai operasi tersebut yang dijalankan bermula jam 10 pagi di sekitar Pasar Siti Khadijah di sini, kelmarin.

Azham berkata, pihaknya akan mengkaji pendekatan tersebut sama ada ia berkesan untuk mengurangkan jenayah ragut di daerah ini dan pada tahun ini sebanyak lapan kes ragut dilaporkan serta ia menunjukkan penurunan berbanding sebelumnya.

Dalam perkembangan sama, polis masih mengumpul maklumat lengkap untuk mengesan  suspek terhadap kes ragut dan tetak membabitkan Rohairani Abdullah, 36, di Jalan Sultanah Zainab di sini.

“Kita meminta orang ramai yang melihat kejadian berkenaan boleh menghubungi balai polis berdekatan dan mereka tidak perlu bimbang kerana identiti mereka akan dirahsiakan,” katanya.

Sementara itu seorang peniaga, Azimah Hassan, 48, memuji usaha yang dijalankan polis dengan mendekati orang ramai untuk memberi kesedaran risiko kes ragut.

“Inilah yang kita mahukan supaya pihak berkuasa dapat meningkatkan rondaan di kawasan pasar ini kerana terdapat juga kes-kes ragut berlaku di sini memandangkan ia menjadi tumpuan ramai,” katanya.

Bagi seorang suri rumah, Yusni Marlini Marzuki, 27, langkah tersebut akan menjadikan orang ramai akan rasa lebih selamat untuk keluar membeli belah dan berada di kawasan awam.

“Saya sokong usaha ini kerana kejadian ragut baru-baru ini menjadikan saya takut untuk keluar sendirian dan dengan adanya usaha ini saya rasa lebih selesa serta selamat,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...