Selasa, 4 September 2012

Penyamun pijak perut warga emas

Gambar hiasan

PASIR PUTEH: Seorang perompak tidak berhati perut sanggup memijak perut seorang warga emas berkali-kali selain mengikat tangan, kaki serta mulut wanita itu sebelum bertindak melarikan barang kemas dan keretanya dalam kejadian di Kampung Kolam, di sini, Rabu lalu.

Mangsa yang juga Ketua Dewan Muslimat Pas Ketereh, Huniazah Mohd Noor, 68, sebelum itu dikatakan sedang membersihkan halaman rumah pada jam 8.30 pagi manakala suaminya, Yunus Abdul Rahman, 70, berada di kebun berhampiran.


Menurut Huniazah, dia ke kawasan belakang rumah mengambil cangkul sebelum dihampiri seorang lelaki berusia 20-an kononnya mahu meminta segelas air akibat kepenatan dikejar polis.



Katanya, dia tidak memenuhi permintaan itu dan bergelut dengan perompak sebelum diikat serta dibiarkan di kawasan belakang rumah.


“Sebelum itu, mak cik sempat memberi nasihat kepada lelaki itu walaupun berasa sakit dipijak di perut.



“Perompak itu naik ke rumah mengambil beg tangan mengandungi dokumen pengenalan diri serta wang tunai RM700,” katanya.




Perompak terbabit turut melarikan sebuah Proton Wira milik mangsa selain merentap rantai leher serta gelang dipakai dan semuanya membabitkan kerugian RM20,000.


Huniazah berkata, dia terpaksa menunggu dua jam dalam keadaan diikat sebelum suaminya pulang ke rumah.



“Selepas yakin perompak tiada, mak cik mengensot ke depan rumah meminta tolong.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.



Beliau berkata, kereta mangsa ditemui sehari selepas kejadian di sebuah masjid di Kampung Serendah, Kadok, di sini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...