JOHOR BAHRU – Mangsa pecah rumah di Taman Munsyi Ibrahim, di sini kesal apabila tiga beg berisi wang tunai dan barang kemas hanya diisi dua botol berisi duit syiling dan tiga botol air burung walit ketika membuat tuntutan di balai polis Tampoi.
Mangsa, Lim Kok Yong, 58, berkata, kejadian rumahnya dipecah masuk kira-kira jam 8.45 malam pada 19 Mei lepas ketika dia bersama empat ahli keluarga lain menghadiri jamuan di Singapura.
Menurutnya, ketika pemeriksaan dia mendapati wang tunai berjumlah RM23,000 dan AS$1,500 telah hilang termasuk barang kemas yang berharga lebih kurang RM80,000, empat telefon bimbit, dua botol besar berisi duit syiling dan buku akaun bank.
“Sedangkan jiran telah memberitahu saya bahawa dua pencuri yang memecah masuk rumah saya meninggalkan tiga beg barang curi berisi wang tunai dan barang kemas yang kemudiannya telah dibawa tiga anggota polis ke balai,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Wakil tiga saksi yang berada di tempat kejadian yang ingin dikenali sebagai Amirul berkata, dua perompak meninggalkan tiga beg barang curi berhampiran sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu milik mereka selepas dikejar beberapa orang penduduk.
Menurutnya, tiga anggota polis yang lengkap berseragam telah memasukkan tiga beg yang jelas dapat dilihat berisi wang tunai dan barang kemas ke dalam bonet kereta peronda sebelum membuat pemeriksaan ke dalam rumah yang telah dipecah masuk.
“Kami pada mulanya terkejut apabila salah seorang anggota polis itu membuka salah satu beg hasil curi berkenaan dan menyerahkan kepada kami sampul berisi wang berjumlah RM70 seorang.
“Katanya sebagai upah menjaga beg berkenaan, tapi tak sangka wang tunai dan barang kemas itu tidak sampai ke balai apabila pemiliknya hanya diberikan botol duit syiling dan air burung walit,” katanya.
Sementara itu, peguam, Lim Chon Sin berkata, pihaknya telah menghantar surat ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara untuk mengetahui perkembangan siasatan kes berkenaan.
Menurutnya, pihak polis telah membalas surat berkenaan pada 4 Julai lepas meminta sedikit masa lagi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
“Dari Mei hingga sekarang sudah lebih tiga bulan kita masih belum menerima apa-apa maklum balas, sedangkan mengikut prosedur sebenar kertas siasatan boleh disiapkan dalam tempoh tiga bulan.
“Pihak polis tidak mengikut prosedur yang betul kerana tidak membuat senarai bongkar terhadap barang-barang yang dijumpai di tempat kejadian sebelum dihantar ke balai polis,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda MCA Johor Bahru, Kua Song Tuck berkata, pihaknya berharap Ketua Polis Negeri dapat mengambil tindakan secepat mungkin terhadap kes yang tidak sepatutnya berlaku itu.
“Kita minta kes ini disiasat secara adil kerana mangsa mempunyai saksi yang cukup untuk membuktikan semua barangan curi tidak sempat dilarikan, sebaliknya dimasukkan bonet kereta peronda.
“Kita tidak mahu orang awam tidak lagi percaya kepada pihak yang sepatutnya menjaga keselamatan dan keamanan negara,” katanya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Ruslan Hassan ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya pada minggu hadapan.