Selasa, 4 September 2012

Perlu kawalan bersepadu


KUALA LUMPUR: Hanya penguatkuasaan dan kawalan keselamatan yang lebih ketat mampu mematahkan sindiket pengedaran dadah serta pengedaran pistol haram di negara ini.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata rakyat bergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan negara terjamin daripada sebarang anasir jenayah berat.


Berikutan itu, katanya pendedahan mengenai kewujudan sindiket yang membolehkan pistol haram dibawa masuk sangat bermakna dari segi menggalakkan pemerintah menguatkuasakan sistem kawalan lebih bersepadu.


“Selain itu, pendedahan ini juga dapat memberi maklumat kepada rakyat bahawa kejadian begini sememangnya ada berlaku dalam negara dan kita perlulah berhati-hati mengelak daripada terjebak ataupun merisikokan diri orang lain.


“Sekurang-kurangnya ia membuka mata semua pihak untuk bertindak. Undang-undang perlu diperketatkan terutama dalam aspek penjualan dan pembelian senjata api secara sah kerana kita tak mahu ia jatuh ke tangan orang yang salah.



“Penting untuk kita memantau kegiatan ini kerana memang wujud peruntukan yang membenarkan urusan jual beli barangan itu,” katanya ketika mengulas laporan Metro Ahad semalam mengenai kewujudan sebahagian besar pistol haram di negara ini didalangi sindiket pengedaran dadah tempatan yang memperoleh senjata itu dari negara jiran.




Laporan menyebut, ia diperoleh secara percuma selepas kumpulan berkenaan membeli dadah dalam jumlah besar, malah di kalangan sindiket dadah tempatan, kegiatan di pasaran gelap berkenaan dikenali dengan istilah beli ‘barang’, dapat ‘besi’ dengan barang merujuk kepada dadah manakala besi adalah pistol.


Selain modus operandi itu, pistol boleh diperoleh dengan harga RM900 hingga RM1,500 daripada golongan penyeludup yang kebanyakannya anggota kongsi gelap untuk pelbagai kegiatan jenayah.



Mengulas lanjut, Lee berkata, pihak berkuasa perlu memeriksa syarikat ataupun pihak yang memperoleh kebenaran dalam aktiviti penjualan senjata api supaya tiada yang cuba mengambil kesempatan atau melakukan aktiviti tertentu bagi melakukan jenayah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...