Jumaat, 14 September 2012

Perkembangan Teknologi Semasa Pengaruhi Peningkatan Jenayah Korporat -


PETALING JAYA, 13 Sept (Bernama) -- Kepesatan dan kecanggihan teknologi semasa merupakan antara punca peningkatan jenayah korporat di Malaysia, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata segelintir mereka yang tamak memanipulasi teknologi untuk melakukan jenayah korporat terancang seperti penipuan siber, pengubahan wang haram, penggelapan wang syarikat dan penipuan akaun bank.

Menyedari situasi tersebut, Ismail berkata polis turut meningkatkan keupayaannya dari segi penguasaan teknologi terkini bagi menangani masalah jenayah korporat yang boleh menjadi satu ancaman kepada negara.

"Kita turut meningkatkan keupayaan dalam melakukan siasatan.

"Kita ada kepakaran dalam bidang jenayah komersil, kita ada pakar dalam bidang ekonomi, jadi penguasaan kita dalam bidang ini memudahkan kita untuk jejaki jenayah korporat ini," katanya.

Ismail bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog yang dianjurkan oleh Institut Pengurusan Malaysia (MIM) bertajuk "Corporate Crimes: Managing The Growing Menace" (Jenayah Korporat: Menangani Petaka Yang Meningkat) di sini, Khamis. BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...