Jumaat, 19 Oktober 2012

'Datin' tipu RM1.067 juta


'Datin' tipu RM1.067 juta
TAIPING - Mengaku dirinya berpangkat Datin, seorang wanita yang mendakwa sebagai ahli perniagaan berjaya memperdaya sebuah syarikat pemborong barangan runcit di Skudai, Johor untuk membekalkannya barangan runcit bernilai RM1.067 juta.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, wanita berusia 60 tahun itu membuat tempahan barangan runcit dengan menggunakan invois sebuah koperasi yang kononnya berada di Taiping.

Menurutnya, barang-barang runcit yang diperoleh, kemudiannya dijual oleh suspek di sekitar Kamunting dengan menggunakan nama koperasi berkenaan.

“Pada awal transaksi, suspek membuat pembayaran permulaan secara tunai berjumlah RM62,000 dan berjanji untuk melangsaikan bakinya kemudian.

“Bagaimanapun ahli perniagaan yang mendakwa bergelar Datin itu tidak membuat bayaran baki harga barangan tempahan sebanyak lebih RM1juta itu, sehingga kini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini, semalam.

Yusuf berkata, berikutan itu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru pada 14 September 2012.

Menurutnya, kes berkenaan berlaku antara Jun hingga Ogos tahun ini melalui invois tempahan barangan runcit sebanyak 11 kali.

“Kita telah menjalankan beberapa serbuan, termasuk di premis operasi penjualan barangan runcit terbabit di Kamunting, pada 27 September 2012 dan 5 Oktober 2012.

“Hasil serbuan, kita berjaya memberkas lima suspek, iaitu, tiga lelaki tempatan berusia 42 hingga 60 tahun, seorang warga asing berusia 30 tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun yang juga pengurus premis,” katanya.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan dibebaskan dengan ikat jamin polis kecuali seorang lelaki berusia 42 tahun bersabit kes lain di Johor.

Yusuf berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kerana menipu dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan.

“Polis masih mencari seorang wanita yang berasal daripada Pulau Pinang dan dikenali sebagai Noorokiah Ishak, bagi membantu siasatan.

“Mereka yang mengenali dan mengetahui tentang wanita berkenaan diminta menghubungi Polis IPD Taiping di talian 05-8080222, atau 05-8291222, atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...