Jumaat, 19 Oktober 2012

LAPAN PEROMPAK GAGAL MEROMPAK KEDAI EMAS


Lapan perompak putih mata
PELABUHAN KLANG - Lapan perompak bersenjatakan peralatan tajam dan bermotosikal berputih mata apabila hasrat mereka merompak sebuah kedai Emas di Persiaran Raja Muda Musa tidak kesampaian sebaik menyedari kehadiran polis di situ, malam kelmarin.

Malah sebahagian daripada perompak itu juga gagal memecahkan cermin yang menempatkan barangan kemas di kedai tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam  7.15 malam ketika pengurus kedai emas tersebut bersama lima pekerja berada dalam premis itu.

“Secara tiba-tiba empat lelaki memakai helmet berpenutup gelap, bersarung tangan dan bersenjatakan dua tukul serta dua parang menyerbu kedai emas itu menyebabkan masing-masing terkejut.

“Dalam masa sama tiga daripada suspek cuba memecahkan cermin pameran yang menempatkan barangan kemas manakala seorang lagi suspek meletakkan pisau di leher pengawal keselamatan kedai itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad berkata, khuatir keselamatan diri, pengurus kedai dan pekerjanya menyelamatkan diri dengan lari ke bahagian belakang kedai.

Katanya, pada masa sama juga, suspek berusaha memecahkan cermin pameran namun khuatir mengambil masa lama boleh menyebabkan mereka ditangkap polis, kesemuanya segera beredar dari kedai tersebut.

“Selepas menyedari kesemua suspek beredar, pengurus dan pekerja kedai kembali ke ruang niaga sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis,” katanya.

Mohamad berkata, kesemua suspek terbabit menaiki empat  motosikal jenis RXZ berwarna hijau dan Yamaha 125 serta empat daripada suspek masuk ke dalam kedai manakala selebihnya hanya menunggu di luar.

Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pergerakan suspek yang cuba memecahkan cermin pameran emas tetapi gagal.

“Kesemua suspek berkenaan memakai topeng kain dan memakai helmet.

"Mereka juga dipercayai berusia dalam lingkungan 30an,” katanya.

Beliau berkata, tiada barang kemas berjaya dilarikan perompak terbabit dan tiada mangsa mengalami kecederaan ketika kejadian itu.

Katanya, cubaan samun itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...