Jumaat, 19 Oktober 2012

Lebih 10 Lelaki Serang Bengkel Motosikal


GEORGE TOWN: Lebih 10 lelaki bersenjatakan parang, tukul, kayu dan batang besi menyerang sebuah bengkel membaiki motosikal di Lorong Sungai Pinang.
Seorang pekerja bengkel yang enggan dikenali berkata pada kejadian 4.30 petang itu, semua lelaki terbabit secara tiba-tiba meluru masuk dan memecah perkakasan dalam kedai selain melarikan wang tunai serta barangan berharga.
Beliau berkata mereka turut mengugut mahu mencederakannya dan enam lagi rakan sekerja yang berada di situ jika cuba melawan. "Semasa itu, saudara tauke yang sedang mengandung lima bulan turut berada di dalam bengkel tetapi mujurlah tiada sesiapa yang cedera.
"Kejadian berlaku sangat pantas, beberapa minit sahaja mereka pecah masuk, rosakkan barang-barang dan larikan dompet serta telefon bimbit kami," katanya kepada pemberita di sini, Khamis. Susulan kejadian, pemilik bengkel mengalami kerugian kira-kira RM150,000.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes tersebut dan motif kejadian masih dalam siasatan.
Beliau berkata setakat ini, polis menahan lapan lelaki tempatan berusia 16 hingga 38 tahun di sekitar kawasan Jelutong bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merusuh.
Katanya, kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. -BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...