Khamis, 4 Oktober 2012

Hilux jadi penyelamat, pengurup nyaris hilang wang dirompak


Hilux jadi penyelamat, pengurup nyaris hilang wang
JOHOR BAHRU – Seorang pengurup wang dan tiga pekerjanya berhadapan situasi mencemaskan apabila diserang sekumpulan perompak bersenjata api ketika dalam perjalanan pulang dari sebuah bank, kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang bersama pekerjanya dikatakan membawa wang tunai RM700,000 menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan terbabit dalam kemalangan di Jalan Storey berhampiran bangunan Pacific Mall, di sini, sebelum diserang.

Sinar Harian difahamkan, ketika kejadian, kenderaan mangsa dihimpit sebuah lori muatan lapan tan sewaktu mereka dalam perjalanan pulang ke premis perniagaan sehingga menyebabkan kenderaan itu terbabas dan terbalik.

Bagaimanapun, belum sempat mangsa dan pekerjanya cuba menyelamatkan diri, mereka kemudiannya diserang sekumpulan lelaki bertopeng yang tiba-tiba datang menaiki dua kenderaan jenis Proton Wira dan melepaskan tembakan ke arah Toyota Hilux yang mereka naiki.

Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah, Datuk Dr Hashim Haron berkata, hasil siasatan mendapati, dua perompak dari kenderaan yang datang telah melepaskan lapan tembakan ke arah kenderaan mangsa dengan tujuan mendapatkan wang dibawa.

“Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan diri selepas gagal melarikan wang tunai RM700,000 itu apabila tembakan yang dilepaskan tidak dapat menembusi kenderaan mangsa yang kalis peluru.

“Pihak polis turut menemui dua kenderaan jenis Proton Wira dinaiki suspek yang ditinggalkan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada hari yang sama,” katanya.

Hashim berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek yang terlibat dan hasil pemeriksaan yang dijalankan,  sepucuk pistol ditemui serta beberapa topeng yang ditinggalkan dalam kereta suspek.

“Kesemua mangsa yang terbabit di dalam kes ini terselamat termasuk pemandu kenderaan yang hanya mengalami luka ringan kesan dari kemalangan yang berlaku.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan kesemua suspek sedang giat dikesan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...