Khamis, 4 Oktober 2012

Lelaki Myanmar maut bergaduh dengan rakannya

Gambar hiasan

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas terlibat dalam satu pergaduhan dengan rakan senegaranya di rumah sewa mereka di Taman Desa Murni, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata mangsa yang berusia 20-an dan bekerja di sebuah kedai besi berhampiran rumahnya maut selepas ditetak rakannya dalam kejadian pada jam 2 pagi. 


Katanya punca pergaduhan dipercayai akibat perselisihan faham antara mereka yang tinggal bersama di rumah berkenaan sejak dua tahun lepas. 

"Sebaik kita sampai di rumah mereka, mangsa didapati telah mati berikutan kecederaan parah di bahagian leher dan dia dipercayai ditetak dengan parang," katanya di sini, semalam.




Beliau berkata polis berjaya menahan suspek yang terlibat dalam kejadian itu tidak jauh daripada tempat kejadian dan ketika itu dia sedang bersembunyi.



"Bersama lelaki berusia 24 tahun itu, polis merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian gaduh itu," katanya. 

Abdul Rahman berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat. 

Rakannya juga dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut berikutan mengalami beberapa kecederaan akibat pergaduhan berkenaan. 

Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...