Ahad, 21 Oktober 2012

Wajib adu aktiviti rasuah


Moh Samsuddin Yusof
KUANTAN- Sebarang perlakuan dan aktiviti rasuah yang berlaku wajib dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya ada maklumat.

Kegagalan individu yang mempunyai maklumat berhubung salah laku tersebut melaporkan kepada pihak berkuasa adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan termasuk didenda dengan jumlah yang tinggi.

Pengarah SPRM Pahang, Moh Samsuddin Yusof berkata, kesedaran awam berhubung tanggung jawab itu semakin meningkat apabila banyak aduan diterima khususnya daripada penjawat awam di sini berhubung perbuatan rasuah oleh segelintir individu yang berkepentingan.

Menurutnya, setiap maklumat yang diterima akan memudahkan pihaknya menjalankan siasatan dan mengambil tindakan kepada perasuah.

“SPRM mengalu-alukan kerjasama awam dalam usaha memerangi pemberi rasuah (Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009)  di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Pertandingan Menembak Jemputan SPRM Pahang di Lapang Sasar Kem PGA Galing di sini, semalam.

Moh Samsuddin berkata, SPRM memberi fokus terhadap usaha memerangi pemberi rasuah dengan menguatkuasakan Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 yang menetapkan bahawa perbuatan memberi atau menawarkan rasuah merupakan suatu kesalahan yang sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah.

“Jika disabitkan dengan kesalahan ini, seseorang itu akan berhadapan dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau sepuluh ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya membuka kertas siasatan ke atas seorang lelaki warga China yang ditahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kerana cuba memberikan sogokan bagi mengelak dikenakan tindakan setelah melanggar syarat perjalanan dengan tinggal di negara ini melebihi masa ditetapkan.

“Lelaki tersebut diserahkan kepada kita untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Mengulas berhubung penganjuran pertandingan menembak jemputan SPRM Pahang semalam, Moh Samsuddin berkata, penganjuran acara menembak melibatkan wakil agensi penguat kuasa dan pengamal media di sini merupakan acara tahunan.
Menurutnya, acara sempena Program Latihan dan Pertandingan Menembak SPRM 2013 yang bermula sejak 15 Oktober lalu bertujuan merapatkan hubungan dan kerjasama antara agensi yang terlibat.

“Dalam pertandingan  ini 14 pasukan pelbagai agensi termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Imigresen, Jabatan Bomba dan
Penyelamat Mal;aysia (JBPM) Pahang dan Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil bahagian.

“Wakil IPK Pahang mengungguli pertandingan ini apabila mengekalkan kejuaraan mereka selepas menewaskan pasukan PGA,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...