Ahad, 21 Oktober 2012

Jenayah curi kabel masih serius - Telekom Malaysia


KUALA LUMPUR — Telekom Malaysia (TM) menganggap masalah kecurian kabel di negara ini masih serius meskipun jumlah kerugian dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini berkurangan berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, jika dahulu gejala itu banyak berlaku di luar bandar namun kini bandar dan kawasan teknologi seperti Cyberjaya tidak terkecuali.
"Statistik kecurian kabel di kawasan Multimedia Super Corridor (MSC) di Cyberjaya meningkat sebanyak 71 kes berbanding 52 kes pada tahun lepas, manakala di Kuala Lumpur meningkat sebanyak 58 kes daripada 30 kes pada tahun lepas,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penghargaan Pencegahan Jenayah Kecurian Kabel semalam.
Beliau berkata, meskipun kerugian yang dialami TM berikutan perbuatan itu sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini berkurangan kepada RM29 juta berbanding RM42 juta bagi tempoh sama tahun lepas, namun pihak syarikat menganggap jenyah itu masih serius.
Zamzamzairani juga tidak menolak kemungkinan ia dilakukan dengan bantuan orang dalam, namun kes ini turut membabitkan orang luar seperti penagih dadah dan penjual besi buruk ekoran harga kabel yang tinggi. — BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...