Ahad, 21 Oktober 2012

Tiga warga Indonesia dicari


Tiga warga Indonesia dicari
ROMPIN - Polis mencari tiga lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan kes samun dan pecah rumah di daerah ini awal pagi Khamis lalu.
Ketua  Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, ketiga-tiga lelaki yang dikehendaki polis itu dikenali sebagai Budin, Usop dan Iskandar.

Menurutnya, mereka adalah satu kumpulan yang amat diperlukan bagi membantu polis menangani beberapa kes pecah rumah dan samun yang bukan saja berlaku di Rompin malah di negeri ini.

“Ketiga-tiga lelaki ini amat penting bagi membantu polis menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan samun termasuk kejadian terbaru di Kampung Bangkong minggu lalu,” katanya.

Johari berkata, polis minta sesiapa yang mempunyai maklumat tiga lelaki itu supaya segera hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fairuz Ahmad (019-2771382) atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Rompin) (09-4145222).

“Polis difahamkan, ketiga-tiga individu yang dikehendaki ini juga pernah bekerja sebagai buruh ladang di Johor,” katanya.

Sinar Harian Jumaat lalu melaporkan tiga lelaki bersenjatakan parang menyamun dua rumah di Kampung Bangkong, awal pagi Khamis lalu.

Bagaimanapun, seorang suspek berjaya dicekup sewaktu cuba melarikan diri dalam kelambu di sebuah ladang kelapa sawit di kampung itu.

Kesemua suspek dipercayai memecah masuk sebuah rumah kira-kira jam 3.35 pagi sewaktu seorang mangsa sedang tidur.

Pemilik rumah itu hanya menyedari rumahnya dipecah masuk kira-kira jam 6 pagi selepas kejadian dan mendapati rumahnya dalam keadaan berselerak akibat digeledah.

Suspek kemudiannya memecah masuk pula sebuah lagi rumah tidak jauh dari situ kira-kira jam 4.30 pagi dan mengugut seorang mangsa di sebuah bilik di rumah itu dengan menggunakan parang.

Kesemua suspek dipercayai melarikan diri ke sebuah ladang di kampung itu sebelum ditemui sedang lena dalam kelambu.
Bagaimanapun, dua daripada suspek berjaya meloloskan diri daripada dicekup polis sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan di tempat persembunyian mereka
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...