Bilik kawalan CCTV yang ditempatkan di dalam Masjid Al- Mustaqim. |
KUALA NERUS – Dek kerana tidak tahan dengan kes kecurian barangan berasaskan besi dan tembaga, Jawatankuasa Masjid Al-Mustaqim, di sini, terpaksa mengambil pendekatan dengan memasang rakaman litar tertutup (CCTV) serta menggantikan peralatan seperti kepala paip besi kepada plastik.
Kes kecurian di kawasan masjid berkenaan yang dilaporkan berlaku hampir setiap minggu itu bukan sahaja mengundang masalah kepada jawatankuasa masjid, malah jemaah yang lain akibat ketiadaan kepala paip untuk mengambil air sembahyang serta penutup longkang yang dilarikan penjenayah terbabit.
Bagaimanapun, setelah CCTV dipasang kira-kira tiga bulan yang lalu, masalah membabitkan kecurian tidak lagi berlaku dan nyata langkah yang dibuat jawatankuasa masjid yang mengeluarkan belanja kira-kira RM3,000 lebih untuk membeli peralatan keselama-tan berbaloi.
“Sebelum ini, kita (jawatankuasa) sering berada dalam keadaan berjaga-jaga serta mengeluarkan belanja yang besar untuk menggantikan peralatan yang telah dilarikan pencuri, tetapi kini kebimbangan sedkit berkurang kerana alat CCTV di pasang di semua sudut masjid serta laluan masuk ke kampung.
“Malah, tabung derma masjid juga antara ‘mangsa’ utama pencuri sebelum ini hingga kita terpaksa me-ngikatnya dengan menggunakan rantai besi yang besar, namun nyata pencuri lebih bijak kerana mereka dapat membuka peti besi berkenaan,” katanya.
Sementara itu, seorang jemaah yang ditemui, Razlan Aziz, masjid berkenaan merupakan persinggahan tetap dirinya setiap kali berulang alik dari Setiu untuk ke tempat kerjanya di Kuala Terengganu dan pernah sekali ketika ingin mengambil air sembahyang, kepala paip tiada.
“Saya sebenarnya kesal dengan kes kecurian yang berlaku di masjid kerana ia bukan sahaja menjadi tempat suci bagi umat Islam dan tidak seharusnya menjadi sasaran penjenayah untuk mencari ‘rezeki’ kotor sedemikian.
“Malah, keprihatinan dan tanggungjawab semua pihak untuk menjaga keselamatan dan kebersihan kawasan masjid bukan menjadi tugas jawatankuasa masjid semata-mata, tetapi perlu dipikul semua pihak,” katanya.
Katanya, dia turut memuji langkah jawatankuasa masjid berkenaan yang memasang CCTV untuk menangani masalah kecurian yang berleluasa di tempat ibadat itu.